Benarkah otak bayi boleh dirangsang supaya dia membesar sebagai anak yang pintar dan bijak?
Secara umumnya semua anak mempunyai tahap IQ (kecerdasaan minda) yang tinggi bila dilahirkan. Tahap IQ sering menjadi kayu pengukur kepandaian seseorang. Namun menurut Dr. Muhamad Jantan, Perunding Motivasi & Psikologi, RMJ Holistic Solution, banyak kajian yang dibuat masa kini mendapati IQ bukan satu-satunya punca seseorang mengecapi kejayaan dalam kehidupan.
Sebenarnya membentuk bayi pintar dan bijak terletak pada pembinaan EQ (kecerdasan emosi) dan SQ (kecerdasan spiritual). Rangsangan penting sebagai persediaan mendapat potensi minda yang menyeluruh dari segi IQ, EQ dan SQ. Bagaimana merangsang EQ anak-anak? Menurut Dr. Muhamad rangsangan EQ perlu mengikut formula VAK (Visual Auditory Kinestetik).
Visual = Penglihatan/Pemandangan
Menggambarkan sesuatu pada anak-anak dapat menarik perhatian mereka dan merangsang penggunaan deria mata. Menunjukkan anak-anak pada perkara yang positif membantu merangsang otak mereka yang cerdas. Sejak lahir hingga usia enam tahun, 70 peratus yang ditunjukkan pada anak-anak akan masuk dalam fikiran mereka sama ada yang positif atau negatif. Malangnya kebanyakan anak-anak menerima 70 peratus perkara yang negatif dalam fikiran mereka kerana ibu bapa tidak merancang.
Auditory = Pendengaran
Ajaran Islam ada menyuruh ibu bapa memperdengarkan ayat-ayat suci Al-Quran kepada janin dalam rahim supaya
membentuk personaliti positif si anak. Dengan banyak bercerita, bercakap perkara yang baik turut membantu perkembangan otak. Bayangkan jika anda kerap bergaduh dengan pasangan sejak anak dalam kandungan hingga lahir, berapa banyak perkataan dan gambaran negatif akan distor ke dalam memorinya? Akhirnya ia akan berkekalan untuk jangka masa panjang dan jangan terkejut jika tiba masanya anak akan meniru perkara negatif yang dilihat dan didengari itu.
Kinestetik = Sentuhan, pelukan, belaian kasih sayang
Belaian dan sentuhan pada perut semasa bayi berada dalam rahim dapat menyalurkan satu perasaan yang indah dan membentuk pertalian erat antara anak dan ibu. Anak yang menerima kasih sayang secukupnya dari ibu dan bapa akan membesar sebagai individu yang cemerlang. Bila mula merasai kasih sayang sejak dalam kandungan, emosi semakin dibina dan akan membawa kesan pada pembesaran.
No comments:
Post a Comment